Jumaat,30 September 2011-Dataran Insaf Penjara Kluang menjadi tumpuan peserta-peserta dari seluruh institusi penjara untuk menyertai Majlis Perujian Hafazan Al-Quran Kali Ke-3 Dan Pertandingan Nasyid Kali Ke-5 Peringkat Penghuni Jabatan Penjara Malaysia Tahun 2011. Majlis yang berlangsung selama 3 hari bermula Rabu 28 September 2011 dan berakhir pada Jumaat 30 September 2011 telah menghimpunkan 62 peserta lelaki, 23 peserta wanita dan 11 kumpulan nasyid yang terdiri dari penghuni pelbagai institusi penjara seluruh Malaysia. Program yang diadakan secara tahunan adalah salah satu program pemulihan Seksyen Pemulihan Rawatan Dan Pemulihan telah dikelolakan oleh Penjara Kluang. Barisan juri pula terdiri daripada pegawai agama pelbagai institusi penjara yang diketuai Ustaz Ainuddin Bin Hj Dolhakim, Ketua Unit Agama IPPM. Johan bagi kategori Perujian Hafazan Lelaki Tahap 1 dan 3 menjadi milik Penjara Pokok Sena, manakala Tahap 2 pula jatuh kepada Penjara Tapah. Bagi kategori Perujian Hafazan Wanita Tahap 2 serta 3 dimenangi oleh institusi Penjara Wanita Kajang dan Tahap 1 menjadi milik Sekolah Henry Gurney Melaka. Wakil dari Sabah iaitu Penjara Tawau berjaya merangkul johan kategori Pertandingan Nasyid dengan mengalahkan Sekolah Henry Gurney dan Penjara Kluang yang mendapat tempat ke-2 dan ke-3. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh KPj Jamaluddin Bin Saad, Pengarah Bahagian Pengurusan Banduan Jabatan Penjara Malaysia. Majlis turut diceriakan dengan kehadiran PKK Roslan Bin Hj Mohamed, Pengarah Penjara Kluang dan pengarah-pengarah institusi Jabatan Penjara Malaysia.
|