Mesyuarat Ketua-ketua Institusi (MKKI) Bil 2 Tahun 2011 telah diadakan pada 30 Oktober 2011 hingga 2 November 2011 bertempat di The Zenith Hotel, Kuantan, Pahang. Mesyuarat pada kali ini telah dihadiri oleh seramai 83 orang ahli mesyuarat yang terdiri daripada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Pengarah-Pengarah Bahagian, Pengarah-Pengarah Institusi dan wakil daripada Kementerian Dalam Negeri. Bertemakan 'Satu Aspirasi Merealisasi Impian', penganjuran mesyuarat tersebut adalah bagi mencapai objektif iaitu:- - Memberi pendedahan kepada ketua-ketua institusi berkaitan isu dan cabaran yang telah, sedang dan bakal dihadapi oleh Jabatan dan mengemukakan cadangan penyelesaian agar Jabatan sentiasa selari dengan perkembangan semasa; - Meneliti semula program-program yang telah dan akan dilaksana bagi memastikan visi, misi dan objektif Jabatan berada pada landasan yang sebenar dan dicapai dengan jaya; - Meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam melalui perkongsian ilmu dan cetusan idea bersama serta mengatasi karenah birokrasi; dan - Memperkasa jaringan kerjasama antara pengarah-pengarah bahagian di peringkat ibu pejabat dan ketua-ketua institusi. Susun atur MKKI Bil 2 Tahun 2011 pada hari pertama dimulakan dengan taklimat Outcome Based Budgeting System (OBB) yang disampaikan oleh PKK Abdul Kadir bin Haji Rais. MKKI Bil 2 Tahun 2011 juga memberi ruang kepada Ketua-ketua institusi selaku Yang DiPertua Kelab Sukan dan Kebajikan institusi masing-masing menghadiri Mesyuarat Agong Majlis Sukan Penjara Malaysia. Di antara pengisian acara yang berlangsung semasa mesyuarat agong tersebut adalah penyampaian piala johan keseluruhan kepada pasukan Selangor C, penyerahan piala pusingan dan bendera Kejohanan Sukan Penjara ASEAN. Perasmian MKKI telah disempurnakan pada 1 November 2011 oleh YB. Dato' Lee Chee Leong, Timbalan Menteri Dalam Negeri. Turut dimuatkan pada majlis tersebut adalah acara penyampaian pingat kepada 18 orang Pegawai Kanan dari Ibu Pejabat Penjara Malaysia dan Ketua-ketua Institusi. Antara pingat yang telah disampaikan ialah Pingat Perkhidmatan Awam, Pingat Ketua Pengarah Penjara (Perak), Pingat Cemerlang Penjara, Pingat Pekerti Penjara dan Pingat Bakti Penjara serta acara penyampaian cenderahati kepada penganjur terbaik Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2010 Jabatan Penjara Malaysia. Bersempena dengan MKKI kali ini juga, Jabatan telah menganjurkan Malam Menjunjung Kasih Warga Jabatan Penjara Malaysia sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM Sultan Pahang yang dihadiri oleh tetamu kehormat iaitu KDYMM Sultan Pahang, Y.A.B. Menteri Besar Pahang, Y.B. Menteri Dalam Negeri, Y.B. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan Negeri Pahang, Y.B. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Pengurusan Tertinggi Jabatan dan Pegawai-pegawai Kanan Jabatan serta Kerajaan Negeri Pahang. MKKI Bil 2 Tahun 2011 telah berjaya mencapai objektif dan seterusnya diharapkan agar semangat daripada mesyuarat tersebut akan membawa Jabatan ini ke arah sebuah organisasi koreksional bertaraf dunia sebagaimana visi yang ditetapkan. |