Kejohanan Tarian Rampaian Tradisional, Kugiran dan Nyanyian Lagu-lagu Asli & Moden Jabatan Penjara Malaysia tahun 2011 telah berlangsung pada 21 hingga 23 Oktober 2011 di Auditorium Kedahfm, Alor Setar, Kedah. Kejohanan ini yang merupakan anjuran Majlis Sukan Penjara Malaysia telah disertai sebanyak 24 buah institusi penjara termasuk pengelola kejohanan iaitu Penjara Alor Setar.
Majlis Makan Malam sempena Perasmian Penutupan dan penyampaian hadiah telah diadakan pada 23 Oktober 2011 bertempat di Hotel Starcity, Alor Setar, Kedah. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh KPj Alzafry Mohamed Alnassif bin Mohamed Adahan, Pengarah Dasar Kepenjaraan merangkap Exco Majlis Sukan Jabatan Penjara Malaysia.
Johan bagi kategori Tarian Rampaian Tradisional telah disandang oleh Kumpulan Galasari yang mewakili Maktab Penjara Malaysia. Manakala, BG Band yang mewakili PPA Batu Gajah telah dinobatkan sebagai Johan Kumpulan Kugiran Irama 60an. Johan bagi kategori Nyanyian Lagu-lagu Asli Lelaki dan Wanita telah dimenangi oleh Sjn Yusof bin Said yang mewakili PPA Batu Gajah dan Rosyaida binti Rosli mewakili Akademi Koreksional Malaysia, Langkawi. Seterusnya, kategori Nyanyian Lagu-lagu Moden Lelaki dan Wanita telah disandang oleh Abd. Latip bin Antong mewakili Penjara Sabah dan Noor Suziana binti Abd. Talib dari Penjara Wanita Kajang.
Pada Majlis Makan Malam tersebut, tetamu yang hadir dihiburkan dengan persembahan oleh Johan bagi setiap kategori yang dipertandingkan. Turut hadir, Ketua-ketua Institusi Penjara dan Parol.
|