27 September 2010 - Ibu Pejabat Penjara Malaysia telah menganjurkan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Penjara Malaysia Ke-9/2010 bertempat di Dataran IPPM, Bukit Wira, Kajang. Di majlis tersebut Y.Bhg. Datuk Wira Hj. Zulkifli bin Omar telah memakaikan pangkat kepada 4 orang Inspektor yang menerima kenaikan pangkat sebagai Ketua Inspektor Penjara (KIP), seorang Koperal yang dinaikkan pangkat kepada Sarjan dan seorang Warder yang menerima pangkat Koperal. Antara pegawai yang menerima pangkat KIP ialah Ramalingam a/l Karuppiah, Jamalullail bin Hj. Abd. Rahman, Meor Azmi bin Meor Baharom dan Farit bin Hj. Salleh. Manakala Sivakumar a/l Munisamy dan Abu Samah bin Alip masing-masing menerima pangkat Sarjan dan Koperal. Sehubungan itu, semasa ucapannya beliau mengucapkan tahniah kepada pegawai dan anggota yang telah menerima kenaikkan pangkat tersebut. Beliau juga menyeru agar semua wargakerja IPPM mengambil iktibar daripada pelaksanaan ibadat di bulan Ramadhan dan Syawal sebagai kaedah mentransformasikan diri dan organisasi dalam melaksanakan tugas dan kewajipan yang diamanahkan. Selain itu, Datuk Wira Hj. Zulkifli, juga inginkan supaya kita melakukan kerja dengan cara yang pantas atau 'speed' dari sudut membuat keputusan dan dasar serta kepantasan juga dalam melaksanakannya bagi mewujudkan kecekapan dan keberkesanan. Selaku ketua Jabatan Penjara Malaysia beliau juga menzahirkan rasa bangganya apabila Mesyuarat Pengurusan Tertinggi KDN mengumumkan kejayaan Portal Jabatan Penjara memperolehi 4 star dalam Star Rating tahun 2010. Katanya, "kejayaan ini menggambarkan kerjasama daripada semua pihak". Di akhir ucapannya, beliau mengingatkan kepada semua wargakerja supaya menjaga kesopanan dan beradab dalam perhubungan di tempat kerja. Perhimpunan Bulanan IPPM merupakan acara yang diadakan pada setiap bulan yang wajib dihadiri oleh semua wargakerja di IPPM. |