Putrajaya 14 Oktober 2010 - Sambutan Hari Inovasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) 2010 yang diadakan pada 14 Oktober 2010 di Auditorium KDN, Putrajaya telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato' Lee Chee Leong, Timbalan Menteri Dalam Negeri. Majlis tersebut merupakan kemuncak kepada penyertaan semua Jabatan/ Agensi dan Bahagian-Bahagian KDN dalam Pertandingan Inovasi dan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) tahun 2010. Jabatan Penjara Malaysia telah berjaya memenangi Tempat Kedua KIK (Kategori Pengurusan) menerusi Kumpulan PERKASA dari Penjara Sungai Buloh, Selangor. Jabatan Penjara juga berjaya memenangi Tempat Kedua Pertandingan Pameran Inovasi yang diadakan bersempena Hari Inovasi KDN tersebut. Dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato' Lee Chee Leong berkata antara objektif Hari Inovasi diadakan adalah untuk memperkukuhkan nilai-nilai budaya kualiti dan inovasi di dalam organisasi. Program-program inovasi yang dijalankan juga adalah untuk memberi pengiktirafan terhadap komitmen yang ditunjukkan warga KDN atas usaha-usaha yang dijalankan ke arah peningkatan kualiti melalui inovasi. Majlis sambutan Hari Inovasi ini juga turut dihadiri oleh pengurusan tertinggi KDN, Ketua-Ketua Jabatan dan warga KDN dari pelbagai Jabatan/ Agensi di dalam KDN. Jabatan Penjara Malaysia mengucapkan syabas dan tahniah di atas komitmen serta dedikasi warga kerja penjara yang membawa kejayaan cemerlang kepada Jabatan sempena Sambutan Hari Inovasi KDN tahun ini. |