Mesyuarat Ketua-ketua Institusi Bil 2/2010 telah berlangsung di Hotel The Katerina, Batu Pahat, Johor pada 1 hingga 4 November 2010. Mesyuarat ini dihadiri oleh 78 orang pegawai yang terdiri daripada Ketua Pengarah Penjara, Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan, Pengarah-pengarah Bahagian, Pengarah-pengarah Institusi dan wakil Kementerian Dalam Negeri. Majlis ini turut diserikan lagi dengan acara pemakaian pangkat kepada Y.Bhg KJP Datuk Wira Haji Zulkifli bin Omar dan PKP Zamiah binti Parman, penyampaian pingat jabatan dan penyampaian Pensijilan Amalan Persekitaran Berkualiti 5S kepada institusi-institusi terlibat. Perasmian penutupan Mesyuarat Ketua-ketua Institusi Bil 2/2010 telah disempurnakan oleh Y.B Datuk Wira Abu Seman bin Yusop, Timbalan Menteri Dalam Negeri pada 4 November 2010. Berikut merupakan objektif utama Mesyuarat Ketua-ketua Institusi (MKKI) Bil 2/2010: • Membentangkan dan membahaskan laporan pencapaian strategik • Membincang dan mengenalpasti isu/cabaran dan permasalahan yang dihadapi oleh Jabatan Penjara Malaysia serta mengemukakan cadangan penyelesaian. • Penambahbaikan prosedur kualiti MS ISO 9001:2008 • Meningkatkan pengetahuan pegawai pengurusan berkaitan strategi semasa kerajaan dalam usaha mencapai kecemerlangan organisasi Mesyuarat ini turut dimuatkan dengan sesi pembentangan kertas kerja dan sesi dialog bersama pihak pengurusan tertinggi. Sesi dialog bersama pihak pengurusan tertinggi ini memberi ruang dan peluang kepada ketua-ketua institusi untuk berbincang dan berkongsi masalah serta pendapat. Selain itu, Taklimat Akaun Amanah dan Taklimat Bidang Keberhasilan Utama Negara turut disampaikan di dalam mesyuarat ini bagi menjelaskan lagi hala tuju dan dasar kerajaan selari dengan gagasan kerajaan Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Buat julung kalinya, penyampaian Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Majlis Sukan Penjara Malaysia turut disampaikan kepada M.Kathiravan a/l Muniandy dari Penjara Sungai Petani dan Sulha binti Sulaiman,daripada Penjara Pokok Sena. Selain itu, Penjara Kajang pula telah di anugerah sebagai Johan Keseluruhan Kejohanan Majlis Sukan Penjara Malaysia tahun 2009. |