| 
A+
Aa
A-
A
A
A

Peta Laman Aduan & Maklum Balas Hubungi Kami Soalan Lazim

Majlis Perasmian Penjara Bentong

Bersempena Majlis Perasmian Kompleks Penjara Bentong yang disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Hj. Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah, satu sidang media telah diadakan oleh Menteri Dalam Negeri ,YB. Dato' Seri Hishamuddin Bin Tun Hussein. Sidang Media ini diadakan bertujuan untuk memaklumkan beberapa perkembangan berkaitan tiga inisiatif utama yang sedang dan akan dilaksanakan oleh Jabatan Penjara Malaysia iaitu Program Pemasyarakatan Banduan, Perintah Kehadiran Wajib dan Rumah Perantaraan (Half Way House).

Beliau berkata, tiga inisiatif ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha Jabatan Penjara Malaysia untuk mencapai salah satu matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu mengurangkan kadar jenayah dengan kaedah mengurangkan bilangan residivis atau banduan yang berulang kali masuk ke penjara dan membantu bekas banduan memulakan kehidupan baru selepas dibebaskan kelak. Kombinasi tiga inisiatif utama ini jelas memperlihatkan bahawa saranan dan sasaran kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah merentasi pelbagai Agensi dan Kementerian. Beliau turut menyatakan bahawa, tugas dan peranan menurunkan kadar jenayah tidak hanya terletak di bahu penguatkuasa iaitu Polis sahaja, tetapi ia juga merupakan satu gerakan bersama diantara Kementerian Dalam Negeri, Pihak Mahkamah dan juga Pihak Penjara. Selain itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat turut memainkan peranan yang penting di dalam meyokong usaha kerajaan amnya dan Kementerian Dalam Negeri khasnya untuk mengurangkan kadar jenayah.

Jelas Beliau, Program Pemasyarakatan Banduan membawa maksud aktiviti pemulihan banduan dilaksanakan di luar tembok penjara bagi banduan yang layak dan memenuhi syarat-syarat yang ditetap. Beliau menyatakan, antara syarat kelayakan utama adalah banduan mestilah tidak tergolong di dalam kategori kesalahan berat seperti jenayah bunuh dan seksual. Pada peringkat permulaan, banduan tersebut akan bekerja dan ditempatkan di Kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Secara relatifnya, mereka masih tinggal di dalam premis yang diwartakan sebagai penjara dan dikawal oleh Pegawai Penjara. Dalam erti kata lain, Jabatan Penjara akan menguruskan program ini dengan kejasama ATM. Sementara itu, beliau turut menyatakan bahawa bidang pekerjaan banduan di kem-kem ATM hanya melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan kebersihan kawasan dan bangunan, landscaping dan pembaikan kecil. Selain itu, beliau mengklasifikasikan Program Pemasyarakatan Banduan ini sebagai satu pemikiran di luar kotak yang mencipta situasi menang menang kepada semua pihak yang terlibat termasuk Kementerian Dalam Negeri, di dalam merealisasikan matlamat untuk menurunkan kadar jenayah sekaligus mengurangkan bilangan residivis.

Sementara itu, Program Tahanan Wajib merupakan hukuman alternatif kepada pemenjaraan. Melalui program ini, Dato' seri Hishamuddin Bin Tun Hussein menyatakan bahawa, mereka yang didapati besalah akan diberi pilihan sama ada menjalani hukuman penjara atau melakukan khidmat masyarakat. Beliau turut menyatakan bahawa, ketika menjalani program ini, pesalah masih boleh tinggal bersama keluarga dan bekerja seperti biasa. Mereka hanya melakukan kerja-kerja yang diperintahkan untuk khidmat masyarakat tidak melebihi empat jam sehari dan dalam tempoh tidak melebihi tiga bulan. Pada peringkat awal, pesalah-pesalah akan diperintahkan untuk melakukan kerja-kerja wajib atau Khidmat Masyarakat di Rumah Orang Tua dan Kanak-kanak Kurang Upaya. Jelas beliau, program ini dapat mengurangkan kepadatan penghuni penjara dan secara tidak langsung megurangkan kemungkinan untuk kerajaan menambah pembinaan penjara pada masa akan datang.

Inisiatif yang terakhir ialah program Rumah Perantaraan atau Half Way House. Menerusi program ini, Dato' seri Hishamuddin Bin Tun Hussein menerangkan bahawa, Rumah Perantara adalah sebuah premis yang akan menempatkan banduan bebas yang tiada tempat tinggal dan pekerjaan. Ia juga menempatkan Orang DiParol (ODP) yang tidak mempuyai keluarga. Rumah Perantara ini beroperasi dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tidak berorientasikan keuntungan. Selain itu, program ini juga memerlukan kemasukan bersyarat dan banduan akan dibantu untuk mendapatkan perkerjaan dalam masa tiga bulan disamping khidmat sokongan kaunseling berterusan. Jelas beliau, aspek pengurusan rumah dilakukan oleh Pegawai Parol dengan dibantu oleh NGO.

Sebagai konklusinya, beliau menyatakan bahawa kesemua inisiatif ini mampu memperkukuhkan peranan Jabatan Penjara sebagai organisasi koreksional bertaraf dunia serta membangkitkan kesedaran kepada masyarakat untuk bersama-sama melibatkan diri di dalam proses pemulihan penghuni penjara. Tambah beliau, kesemua program ini akan mewujudkan platform yang terbaik untuk banduan mendapatkan pengalaman tentang pergaulan sihat yang menjadi asas kepada persediaan mereka untuk bergaul semula dengan masyarakat.