'Bersama Menjayakan NKRA: Memperkasakan Pemulihan, Mengurangkan Residivis'. Begitulah tema yang dipilih Jabatan Penjara Malaysia pada tahun ini sempena Seminar Bersama NGO yang berlangsung di Akademi Koreksional Malaysia, Langkawi Kedah. Seminar yang bermula pada 3hb Disember dan berakhir pada 5hb Disember 2010 telah dirasmikan oleh Datuk Wira Abu Seman bin Yusop, Timbalan Menteri Dalam Negeri. "Kesemua inisiatif yang dilaksanakan ini diharap mampu memperkukuhkan peranan Jabatan Penjara sebagai organisasi koreksional bertaraf dunia menjelang 2020 serta membangkitkan kesedaran kepada masyarakat untuk bersama-sama melibatkan diri dalam proses pemulihan penghuni di penjara", kata Datuk Wira dalam ucapan alu-aluannya. Selain itu, beliau turut mengumumkan beberapa inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan oleh Jabatan Penjara Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha jabatan ini untuk mencapai matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Antaranya ialah Program Pemasyarakatan Banduan, Perintah Kehadiran Wajib dan Rumah Perantaraan. Program yang kali kedua diadakan ini adalah lebih bertujuan mewujudkan jaringan kerjasama antara Jabatan Penjara Malaysia, NGO dan agensi-agensi kerajaan lain dalam usaha memperkasakan pemulihan banduan. Program tersebut julung kali dianjurkan pada tahun lepas dengan tema ?Berikan Peluang Kedua: Peranan Masyarakat Di Dalam Pemulihan Banduan?, telah mengupas isu kepentingan penglibatan masyarakat dalam menyokong bekas-bekas banduan apabila mereka kembali ke pangkuan masyarakat. Tujuan lain seminar kali ini diadakan ialah untuk memperolehi kesepakatan dan komitmen dari NGO serta agensi lain dengan Jabatan Penjara Malaysia dalam memulihkan banduan dan bekas banduan selaras dengan inisiatif NKRA jabatan. Tambahan lagi seminar ini merupakan satu platform untuk bertukar-tukar pandangan dan kepakaran di dalam usaha memperkasakan pemulihan banduan. |