Unit Agama Islam, Penjara Alor Star telah mengadakan Program Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Ihya' Ramadhan pada 25 Ogos 2008 yang lalu bertempat di Surau Al-Falah, Penjara Alor Star. Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Muhd. Hazim bin Hamid dan seterusnya ucapan aluan oleh PKP Nor Afifi bin Sulong, iaitu Pengarah Penjara Alor Star yang juga selaku pengerusi program ini. Majlis diteruskan lagi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang disampaikan oleh qari jemputan iaitu Mohd. Fakhrul Radzi bin Kamaruddin. Beliau memang tidak asing lagi bagi kita semua, kerana baharu sahaja dinobatkan sebagai juara Akademi Al-Quran musim ketiga baru-baru ini. Acara kemuncak program ini ialah forum yang bertajuk 'Bila Lagi Hendak Merdeka ?' dimulakan. Forum ini telah dipengerusikan oleh Ustaz Muhd. Nadzri bin Muhd Khir dari Institut Perguruan Darul Aman (IPDA) Jitra, Kedah. Manakala, dua orang panel yang terdiri daripada Ustaz Hj. Zainal Asri bin Hj. Ramli dari Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) Pokok Sena, Kedah sebagai ahli panel pertama dan Ustaz Muhd. Luthfi Amir bin Abdullah dari Politeknik Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah selaku ahli panel kedua. Forum yang melibatkan seramai 300 orang penghuni penjara bertujuan membantu para penghuni memahami erti kemerdekaan yang sebenar mengikut ajaran Islam. Di samping itu, diharapkan program ini dapat memberi kesedaran kepada para penghuni betapa pentingnya kehidupan yang merdeka iaitu bebas dari pengaruh jenayah dan penyalahgunaan dadah. Selain itu, melalui program ini juga berhasrat untuk membantu melahirkan keyakinan diri dalam kehidupan penghuni sebagai persediaan untuk kembali ke pangkuan masyarakat. Harapan daripada program ini agar penghuni yang terlibat dapat menghayati kupasan ilmu dan perkongsian maklumat daripada ahli panel forum supaya mengamalkannya dalam kehidupan seharian sebagai individu muslim yang beriman.
|