| 
A+
Aa
A-
A
A
A

Peta Laman Aduan & Maklum Balas Hubungi Kami Soalan Lazim

Program Khatam Al-Quran Dan Berbuka Bersama Penghuni

Berbuka puasa secara beramai-ramai amatlah digalakkan di dalam Islam. Ini kerana ia bukan sekadar mampu mengeratkan hubungan silaturrahim sesama muslim malah menambahkan lagi berkat berbuka puasa di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Baru-baru ini bertempat di Surau An-Nur (surau penghuni) Penjara Limbang yang dibantu oleh Unit Agama Penjara Limbang telah diadakan Program Khatam Al-Quran dan Berbuka Puasa bersama penghuni. Program ini telah dibuat pada 25 September 2008 bermula pada pukul 5.00 petang dan berakhir pada 8.30 malam. Program yang dihadiri oleh 30 orang penghuni ini, adalah penghuni yang beragama Islam yang dipilih dari blok Berkat dan blok Aman. Mereka merupakan penghuni yang telah mengadakan program bacaan Al-Quran bermula dari awal Ramadhan sehingga tamat bacaan mereka pada malam tersebut.

Acara ini dimulai dengan kata-kata aluan pengerusi majlis iaitu Ustaz Fauzi bin Ghazali. Kemudian majlis disusuli dengan nyanyian nasyid oleh Kumpulan Nasyid An-Nahwan yang membawa nasyid "Kitab Al-Quran" dan zikir. Majlis Khatam Al-Quran diteruskan lagi dengan para penghuni membaca ayat-ayat lazim yang dikepalai oleh WP. Yusry bin Yahya. Mereka membaca ayat lazim tersebut bermula dari Surah Ad-Dhuha sehingga Surah An-Nas. Setelah selesai bacaan Al-Quran, WP.Yusry kemudiannya membaca doa Khatam Al-Quran.

Sebelum majlis berbuka puasa diadakan, Saudara Adeni bin Maharop telah memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari Surah Al-Baqarah, ayat 110 sehingga ayat 122.

Para jemputan dan penghuni sama-sama berbuka puasa secara ringkas dengan juadah yang telah disediakan. Selepas itu, mereka menunaikan solat Maghrib secara berjemaah. Selesai sahaja solat Maghrib berjemaah, sekali lagi para jemputan dan penghuni dibawa ke meja hidangan untuk menikmati juadah makan malam.

Selepas selesai makan malam, penghuni dibawa masuk ke surau untuk mendengar tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Ustaz Asydidi bin Hamzah yang membahaskan mengenai kelebihan 10 malam terakhir dan persediaan menghadapi satu Syawal. Diharapkan penganjuran program ini dapat memberi input dan faedah yang berguna bagi memastikan para penghuni dapat kembali ke pangkal jalan.