Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadan di mana umat Islam akan berpuasa dan beribadat dengan lebih tekun. Pada hari tersebut, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Sembahyang sunat Hari Raya Puasa sebanyak 2 rakaat pula akan diadakan pada sebelah pagi, biasanya agak lewat sedikit berbanding Hari Raya Korban.
Baru-baru ini bertempat di Surau An-Nur (surau penghuni), Jabatan Penjara Malaysia yang dibantu oleh Unit Agama Jabatan Penjara Malaysia Limbang telah mengadakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama penghuni. Program itu telah disambut pada 01 Oktober 2008 bermula pada pukul 07.45 pagi dan berakhir pada 10.30 pagi hari tersebut. Sambutan yang dihadiri oleh semua penghuni ini, adalah penghuni yang beragama Islam dan bukan Islam yang mendiami blok Berkat dan blok Aman. Tetapi hanya penghuni Muslim sahaja yang mengikuti program solat Sunat Hari Raya Aidilfitri.
Sambutan pada hari tersebut dimulai dengan laungan takbir Raya yang ditakbirkan oleh para penghuni dan juga pegawai yang bertugas pada hari tersebut. Sebelum solat sunat hari Raya diadakan, WP. Basri bin Alias memberi penerangan secara ringkas kepada para penghuni mengenai cara-cara mengerjakan solat sunat Aidilfitri.
Kemudian solat sunat Aidilfitri diadakan secara berjemaah dan diimami oleh Ustaz Afizi bin Salam. Selaku imam yang bertugas pada hari tersebut, Ustaz Afizi kemudiannya membaca khutbah Hari Raya yang membahaskan mengenai amal kebajikan yang banyak dilakukan pada bulan Ramadhan seharusnya diteruskan walaupun berakhirnya bulan tersebut.
Selepas selesainya solat sunat hari Raya, semua jemaah bersalam-salaman dan bermaaf-maafan antara satu sama lain untuk mengeratkan lagi rasa ukhuwwah di antara penghuni dan pegawai. Kemudian para penghuni dan pegawai dibawa ke meja hidangan untuk menikmati hidangan hari Raya.
Diharapkan penganjuran program ini dapat memberi input dan faedah yang berguna bagi memastikan para penghuni dapat kembali ke pangkal jalan.
Para penghuni melaungkan takbir Raya | WP. Basri bin Alias menerangkan cara-cara melakukan solat sunat hari Raya Aidilfitri kepada para penghuni. | |
Para penghuni mengerjakan solat sunat Aidilfitri diimami oleh Ustaz Afizi bin Salam | Ustaz Afizi membaca khutbah sempena hari Raya Aidilfitri kepada para penghuni |