Program Jalinan Kasih 2008 merupakan satu program yang julung kali diadakan di Penjara Wanita Kajang. Program ini telah diadakan pada 1 Oktober 2008 (Rabu) bersamaan 1 Syawal 1429 Hijrah. Program Jalinan Kasih ini berkonsepkan perjumpaan bersemuka di antara penghuni dan keluarga.
Pada hari yang penuh keberkatan itu, seramai tiga penghuni bertuah telah berpeluang berjumpa dengan keluarga masing-masing secara bersemuka. Tiga penghuni bertuah itu ialah Jamaliah bt Abd Rahman, Haslinda bt Yaakub dan Shariati bt Selamat. Manakala anggota keluarga penghuni yang terlibat dalam menjayakan program ini ialah seramai 11 orang.
Dalam program ini, penghuni telah diberi peluang meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama ahli keluarga masing-masing. Bertempat di Pintu Besar Penjara Wanita Kajang, perjumpaan telah diadakan secara bergilir-gilir di mana setiap keluarga diberi masa selama satu jam untuk sesi pertemuan. Bagi menimbulkan suasana hari raya penghuni dan keluarga diraikan dengan juadah Aidilfitri seperti nasi impit, kuah kacang, rendang dan pelbagai jenis kuih-muih.
Menurut penghuni, mereka merasa amat bertuah kerana telah terpilih untuk menyertai program ini. Menurut mereka lagi program perjumpaan bersemuka di pagi Syawal ini adalah satu hadiah yang paling berharga buat mereka sepanjang tempoh menjalani hukuman. Ini kerana selain dapat meraikannya bersama keluarga, apa yang lebih bermakna ialah mereka turut berpeluang mencium tangan memohon kemaafan atas kesilapan yang lalu daripada ibu bapa masing-masing.
Program yang melahirkan keinsafan serta memberi kesedaran kepada penghuni itu bermula pada pukul 9 pagi dan berakhir pada jam 12 tengahari.