Isnin, 20 Oktober 2008 - Institusi Penjara Sungai Petani telah mengadakan Sambutan Hari Penjara Malaysia bagi tahun 2008 di Padang Kawad, Penjara Sungai Petani. PP Mohd Yunos bin Mohd Salleh, Pengarah Penjara Sungai Petani, Kedah telah menyempurnakan majlis ini. Sambutan ini turut disertai oleh Timbalan Penguasa Penjara, Pegawai-pegawai Kanan, dan Kakitangan lain-lain pangkat termasuk kakitangan awam dan Guru-guru Sekolah Integriti.
Pelbagai aktiviti telah diadakan sempena majlis yang bersejarah ini, antaranya pemeriksaan baris oleh Pengarah Penjara Sungai Petani, Kedah, nyanyian lagu patriotik yang diketuai oleh Pasukan Koir Penjara Sungai Petani, ikrar setia serta ikrar anti dadah, penganugerahan pingat dan sijil, pembacaan perutusan Komisioner Jeneral Penjara, ceramah Integriti yang disampaikan oleh Ustaz Md. Isa bin Abdul Rahman dari Jabatan Mufti Negeri Kedah. Pada sebelah petangnya pula, diadakan pertandingan Bola Sepak 6 Sebelah dan pemeriksaan kesihatan untuk para kakitangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda.