Pelangai, 30 Oktober 2025 – Pengarah Penjara Negeri Pahang, YH. TKP Dato’ Haji Abu Hassan bin Hussain, telah merasmikan Majlis Penutup Bengkel Kemahiran Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) bagi Sektor Awam yang berlangsung selama dua hari di Pusat Latihan Pemasyarakatan (PULMAS), Pelangai, bermula 29 hingga 30 Oktober 2025.
Turut hadir ialah Pengarah PULMAS, TKP Zamzuri bin Ghani, bersama Timbalan Pengarah (Operasi), PKP Mohd Faizal bin Jidin, dan Timbalan Pengarah (Latihan), PKP Mohd Ismawi.
Bengkel ini melibatkan seramai 34 peserta daripada pelbagai agensi termasuk Kompleks Penjara Bentong, PUSPEN Karak, Sekolah Kebangsaan Felda Chemomoi, Sekolah Kebangsaan Felda Kemasul, dan Klinik Kesihatan Chemomoi.
Program ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara Malaysia Productivity Corporation (MPC) dan Pusat Latihan Pemasyarakatan (PULMAS), dengan penglibatan penceramah daripada MPC yang berkongsi ilmu dan kepakaran dalam bidang teknologi kecerdasan buatan.
PULMAS, sebagai pusat latihan di bawah Jabatan Penjara Malaysia, sentiasa proaktif dan responsif terhadap perkembangan teknologi digital, selaras dengan usaha melahirkan warga kerja sektor awam yang berpengetahuan, inovatif dan berdaya saing.
Bengkel ini berjaya mencapai objektifnya dengan penyertaan aktif serta komitmen tinggi daripada semua peserta.










