| 
A+
Aa
A-
A
A
A

Soalan Lazim Hubungi Kami Aduan & Maklum Balas Peta Laman

Jabatan Penjara Malaysia Ke Arah Prison Reform

Menganjak bulan Mac 2020 yang tidak lama lagi, usia Jabatan Penjara Malaysia semakin bertambah dengan mencecah umur yang ke 230. Menuju ke arah negara maju, Jabatan Penjara Malaysia turut mengambil langkah pro-aktif dalam menyediakan insan yang akan turut menyumbang ke arah reformasi Negara. Insan-insan ini adalah merupakan mereka yang sedang mengikuti program pemulihan sepanjang menjalani menjalani hukuman di Penjara. Oleh itu, berdasarkan kepada sitiuasi semasa, pelbagai perubahan dan penambahbaikan dalam mentadbir dan mengurus sistem kepenjaraan dilaksanakan supaya ia tetap kekal efektif dan relevan untuk menghadapi arus perubahan.

Kini, Jabatan Penjara Malaysia telah mengalami pelbagai perubahan dari aspek penahanan, keselamatan mahupun pemulihan. Pemulihan bukan lagi hanya tertumpu di dalam tembok semata-mata, malah turut diperluaskan dengan penglibatan masyarakat. Selain fungsi Jabatan Penjara untuk menguatkuasakan hukuman, memberi kawalan keselamatan, memberikan layanan yang sewajarnya, menjalankan program pemulihan, satu lagi fungsi jabatan dilaksanakan adalah pengintegrasian semula kepada banduan ke dalam masyarakat. Pelaksanaan program ini adalah bertujuan supaya banduan ini dapat menjalani kehidupan yang produktif serta mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh Negara.

Berdasarkan fungsi Jabatan Penjara yang dinyatakan, pelaksanaannya perlu diambil serius kerana sekiranya tanggungjawab ini dilaksanakan dengan sebaiknya, impaknya akan memberi kesan ke atas sosio ekonomi serta kepada kesejahteraan rakyat. Oleh itu, Jabatan Penjara mengambil tindakan dengan melakukan cadangan perubahan yang relevan bagi memastikan setiap fungsi dapat dilaksanakan tanpa ada celanya dengan pelaksanaan Prison Reform. Sebanyak lima faktor teras dan empat faktor pemangkin yang sama-sama memberikan impak kepada reformasi penjara ke arah yang lebih baik lagi. Lima faktor teras dan empat faktor pemangkin tersebut adalah seperti berikut:

1.Kawalan dan Keselamatan

Faktor teras pertama iaitu dari segi perubahan dalam Kawalan dan Keselamatan adalah dengan mencadangkan penubuhan Majlis Koreksional. Majlis Koreksional ini terdiri daripada ahli-ahli jawatankuasa yang dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri, KSU KDN, Ketua Polis Negara dan sebagainya. Fungsi utama Majlis ini adalah untuk mengkaji isu-isu berkaitan penjara seperti kesesakan, hukuman alternatif, keperluan asas banduan dan lain-lain, selain turut menjadi pemudah cara dalam menangani sebarang isu berkaitan Jabatan.

2.Rawatan dan Layanan

Faktor teras yang kedua adalah rawatan dan layanan, beberapa perkara yang perlu diberi perhatian adalah dengan memastikan fasiliti perubatan dan rawatan terhadap banduan dikendalikan sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, pematuhan terhadap standard antarabangsa berkenaan dengan layanan terhadap banduan dan memastikan semua keperluan dan kemudahan asas banduan dapat dipenuhi.

3.Pemulihan

Faktor teras yang ketiga adalah dari segi pemulihan kepada banduan, perkara-perkara yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut:

a) Pegawai penjara perlu bertindak sebagai seorang pegawai koreksional dan seorang pendidik kepada banduan.
b) Menaiktaraf fasiliti bagi tujuan pemulihan yang lebih efektif.
c) Memastikan pelaksanaan profiling banduan dan penggunaan alat penilaian psikologikal banduan sepenuhnya.
d) Penglibatan keluarga dan komuniti dalam proses pemulihan.


4.Pengintegrasian Semula

Faktor teras yang ke empat adalah dari sudut Pengintegrasian Semula. Tindakan yang perlu dilaksanakan adalah dengan mengadakan perluasan Pejabat Parol Daerah melalui pensepadanan semula Daerah Parol. Buat masa kini, hanya terdapat 52 daerah parol berbanding dengan 152 daerah yang terdapat di Malaysia dan apa yang diharapkan adalah penambahan Pejabat Daerah Parol kepada 100 buah menjelang tahun 2030. Bagi sudut bilangan pegawai parol di Malaysia mula, cadangan penambahan melalui Pegawai Parol secara sukarela atau Volunteer Parole Officer (VPO) bagi membantu mengawalselia banduan-banduan yang menjalani Perintah Parol di seluruh Malaysia. Pegawai parol sukarela ini boleh membantu menampung kekurangan Pegawai Parol di penjara pada masa kini.

5.Probation and Community Corrections

Teras yang terakhir dan merupakan teras ke lima adalah melalui Probation and Community Corections. Bagi menjayakan teras ini, tindakan yang diperlukan adalah dengan membuat semakan dan perubahan kepada undang-undang berkaitan selain mewujudkan hukuman alternatif yang baru kepada banduan. Antara undang-undang yang perlu disemak dan dipinda adalah seperti Differed Sentence, Home Detention, perluasan Perintah Kehadiaran Wajib (PKW), Correctional Order (pembebasan berlesen untuk hukuman di bawah 1 tahun). Ini adalah kerana pelaksanaan Probation and Community Correction telah terbukti berjaya mengurangkan residivis pada kadar kurang dari 0.5%.

Perubahan melalui lima faktor teras yang dinyatakan, ianya akan didokong dengan empat faktor pemangkin untuk merealisasikan Prison Reform. Empat faktor pemangkin tersebut adalah seperti berikut:

Empat Faktor Pemangkin Prison Reform

1.Pemerkasaan Kakitangan

Pemangkin pertama ialah mengukuhkan Pemerkasaan Kakitangan di Jabatan Penjara Malaysia. Cadangan supaya diadakan Suruhanjaya Koreksional atau Correctional Commission yang bertujuan untuk memudahkan pelantikan pegawai penjara yang bertugas di dalam bidang koreksional berdasarkan pendidikan dan latarbelakang akademik yang bersesuaian dengan tugas pegawai penjara. Turut dicadangkan juga adalah skim perkhidmatan pegawai penjara ini disatukan (integrated scheme) dan semua kakitangan awam yang berkhidmat di Jabatan Penjara diserapkan ke dalam skim perkhidmatan pegawai penjara. Selain itu, bagi mengembangkan kerjaya pegawai penjara, ianya boleh dilaksanakan melalui profiling kakitangan, kenaikan pangkat berdasarkan jangkamasa (Time-based for Senior Officers), program kecemerlangan dalam dan mengadakan pakar dalam sesuatu bidang ataupun SME, Fast Track serta Succession Planning.

2.Infrastruktur dan Fasiliti

Pemangkin kedua ialah melalui fasiliti dan infrastuktur di mana pihak penjara perlu melaksanakan penyelenggaraan berkala dan pengurusan pencegahan bagi memastikan sesebuah bangunan itu tidak rosak dan dapat digunakan dalam jangkamasa yang panjang. Pengurusan sisa kumbahan yang cekap juga perlu diwujudkan serta kebajikan kakitangan perlu diutamakan. Pemangkin ini juga boleh dicapai melalui penambahbaikan fasiliti penjara untuk meningkatkan kapasiti banduan, penempatan yang kondusif selain fasiliti untuk pembelajaran dan perkhidmatan kesihatan.

3.Aspek Perundangan

Pemangkin ketiga adalah melalui aspek perundangan di mana perlunya dikuatkuasakan perundangan yang telah sedia wujud bagi memastikan pesalah-pesalah yang layak dapat mengikuti program pemulihan di luar penjara sekaligus dapat mengatasi masalah kesesakan yang wujud.

4.Penglibatan Masyarakat

Pemangkin terakhir dan ke empat ialah penglibatan masyarakat. ianya boleh dijayakan melalui kerjasama strategik antara Jabatan Penjara Malaysia bersama NGO, sukarelawan dan majikan di dalam bidang pemulihan, pengintegrasian dan penempatan semula banduan ke dalam masyarakat. Melalui kerjasama yang kukuh antara kedua-dua belah pihak ini diharap dapat membantu di dalam perubahan penjara ke arah yang lebih baik.

Kelima-lima fungsi teras dan empat fungsi pemangkin ke arah Prison Reform ini adalah sebenarnya bertujuan untuk menjadikan Jabatan Penjara ke arah Penjara Sejahtera. Secara umumnya, Penjara Sejahtera dapat dicapai melalui kemudahan dan fasiliti yang mencukupi; teknologi yang dapat digunakan untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan; kakitangan yang sesuai serta mempunyai sikap, skil dan pengetahuan yang mencukupi dalam bidang koreksional; dan program yang dapat mencapai objektif organisasi serta kehendak stakeholder. Pelaksanaan Prison Reform ini memerlukan kerjasama dan sokongan dari pelbagai pihak supaya matlamat Prison Reform ini dapat direalisasikan secepat mungkin.