| 
A+
Aa
A-
A
A
A

Peta Laman Aduan & Maklum Balas Hubungi Kami Soalan Lazim

Sambutan Hari Penjara Ke-224

Sambutan Hari Penjara Ke-224 berlangsung pada 6 November 2014 di Maktab Penjara Malaysia yang disempurnakan perasmiannya oleh Yang Berhormat Dato' Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Timbalan Menteri Dalam Negeri.  Bertemakan "Transformasi Berjaya Masyarakat Sejahtera", warga penjara dituntut untuk menterjemahnya menerusi  pelaksanaan tugas harian yang cemerlang dalam mendidik, membimbing, mengasuh serta memulihkan penghuni supaya mereka tidak kembali mengulangi kesalahan.


Pada majlis itu, seramai 20 orang pegawai penjara menerima Pingat Kedaulatan Negara (PKN) sebagai penghargaan khas kepada anggota yang berjuang dan memberi khidmat sokongan dalam Op Daulat di Sabah.  Seramai 27 individu pula terpilih dianugerahkan Pingat Bakti Setia (PBS) sebagai pengiktirafan tertinggi Menteri dan Jabatan di atas kesetiaan berbakti dalam membangunkan potensi insan kembali ke pangkal jalan.  Yang Berhormat Timbalan Menteri Dalam Negeri turut menyampaikan Sijil Penghargaan kepada tiga orang bekas penghuni yang kini menjadi model insan berjaya manakala 23 penghuni menerima surat tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Terbuka Malaysia (OUM).


Pada sambutan kali ini turut diisytiharkan sejarah penubuhan penjara oleh Dr. Mohd bin Samsudin, Ketua Program Sejarah, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi  Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia yang telah melaksanakan kajian sehingga terhasilnya penemuan penubuhan penjara pertama di Kota Cornwallis, Pulau Pinang pada tahun 1790 bagi menempatkan banduan yang dibawa daripada Bengal, India.  Sebelum itu, satu seminar khas iaitu Sejarah Penubuhan Penjara Malaysia telah diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 16 Oktober 2014 yang dihadiri oleh ahli-ahli sejarah iaitu Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim dan Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali dari Universiti Malaya yang bersetuju menerima hasil pembentangan mengenai sejarah penubuhan penjara di Malaysia.


Klik sini untuk ke Galeri Gambar Perasmian

""