Kejohanan Olahraga Jabatan Penjara Malaysia 2014 telah berlangsung selama 3 hari bermula dari 28 hingga 30 Mac 2014. Kejohanan sukan yang diadakan secara dwi tahunan ini telah dikelolakan oleh Institusi Pemulihan Dadah, Jabatan Penjara Malaysia, Jelebu, Negeri Sembilan bertempat di SMK Za'aba, Kuala Pilah yang juga merupakan sekolah sukan terulung di negeri ini.
Sebanyak 16 kontinjen mewakili seluruh institusi penjara Malaysia dan 216 atlet menyertai kejohanan ini melibatkan 30 acara balapan dan padang. Turut membantu mejayakan kejohanan ini ialah Persatuan Olahraga Amatur Negeri Sembilan (POANS) yang bertanggungjawab dari aspek teknikal bagi semua acara yang dipertandingkan.
Majlis Perasmian Pembukaan kejohanan ini telah disempurnakan oleh Pengarah Institusi Pemulihan Dadah, Jabatan Penjara Malaysia, Jelebu, Penolong Komisioner Penjara Mohd Andri Bin Hj. Mohd Ridzwan yang juga bertindak sebagai Pengerusi jawatankuasa penganjur kejohanan.
Sepanjang kejohanan ini berlangsung, sebanyak 9 rekod baru telah berjaya diperbaharui dan ini merupakan kejayaan jabatan yang boleh dibanggakan.
BIL | ACARA | PESERTA | NEGERI | REKOD LAMA | REKOD BARU |
1. | 800 m (L) | Yoganeswaran a/l Muniandy | Perak B | 2:12:7 s | 2:06:25 s |
2. | 400 m (L) | Yoganeswaran a/l Muniandy | Perak B | 53:9 s (MSSPM) | 52.2 s |
3. | Lempar Cakera (W) | Tetty Nurazzura Tasnim bt. Abdullah | Kedah A | 24.78 m (MSSPM) | 25.17 m |
4. | 4x400 m (L) | Kontinjen Sabah | Sabah | 3:56:4 s | 3:55:75 s |
5. | Lompat Kijang (L) | Faizal b. Hussin | Sabah | 12.82 m | 13.42 m |
6. | 110 m Berpagar (L) | Ridzuan b. Malkin | Sabah | 18.2 s | 17.88 s |
7. | Lompat Tinggi (L) | Abg Khalid b. Abg Talib | Sabah | 1.75 m | 1.76 m |
8. | Lompat Jauh (L) | Sainan b. Sahad | Selangor B | 6.22 m | 6.33 m |
9. | 4x100 m (L) | Kontinjen Sabah | Sabah | 45.1 s (MSSPM) | 44.5 s |
Pada kejohanan kali ini, Yoganeswaran a/l Muniandy dari Perak B telah muncul sebagai Olahragawan manakala Olahragawati disandang oleh Tetty Nurazzura Tasnim bt. Abdullah dari Kedah A. Pemenang bagi kategori Kontinjen Komited telah disandang oleh Kontinjen Pulau Pinang manakala Kontinjen Sabah pula berjaya merangkul Perbarisan Terbaik dan Johan Keseluruhan kejohanan.
Pada 30 Mac 2014 telah berlangsungnya Majlis Perasmian Penutupan kejohanan yang disempurnakan oleh YBhg. KJP Dato' Sri Hj. Zukifli Bin Hj. Omar, Ketua Pengarah Penjara Malaysia, merangkap Yang DiPertua Majlis Sukan Penjara Malaysia. Di dalam ucapan penutupan, beliau melahirkan rasa gembiranya di atas kejayaan Institusi Pemulihan Dadah, Jabatan Penjara Malaysia, Jelebu mengelola kejohanan ini serta berpuas hati dengan komitmen, disiplin dan prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh semua kontinjen yang mengambil bahagian. Beliau juga turut mengumumkan bahawa negeri Sabah telah dipilih sebagai tuan rumah baru Kejohanan Olahraga Jabatan Penjara Malaysia pada tahun hadapan serentak dengan berlangsungnya Kejohanan Asean Prison yang akan diadakan di Jakarta, Indonesia pada 2015.
""