Program Mesej dari Penjara Peringkat Zon Negeri Sabah 2013 telah diadakan pada 14 November 2013 bertempat di Dewan Auditorium Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sandakan. Program ini merupakan usaha Transformasi berterusan Jabatan Penjara Malaysia dalam usaha memasyarakatkan Penjara. Usaha ini juga dilakukan untuk memberi informasi berkaitan program pemulihan dan halatuju banduan selepas dibebaskan.Disamping itu, Jabatan juga berharap agar masyarakat, badan bukan kerajaan, sektor korporat serta orang perseorangan, dapat berkongsi tanggungjawab sosial dan memainkan peranan penting membantu Jabatan Penjara Malaysia dalam usaha memulihkan penghuni disamping mencegah keterlibatan masyarakat dalam kancah jenayah. Antara pengisian Program ialah aktiviti Derma Darah, Pendaftaran Sukarelawan Koreksional, Forum, Pameran, Persembahan Teater, Perkongsian Penghuni dan deklamasi sajak oleh penghuni.
Program Mesej dari Penjara Peringkat Zon Sabah 2013 ini dikelolakan oleh Penjara Sandakan, dan dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Hjh. Jainab binti Datuk Seri Panglima Hj. Ahmad Ayid, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal-ehwal Pengguna, Negeri Sabah. Dalam Ucapan perasmiannya, YB. Datuk Hjh. Jainab berharap agar sasaran Jabatan Penjara untuk memastikan lebih ramai penghuni menjalani hukuman dan pemulihan di luar tembok penjara tercapai dan kadar residivis dapat dikurangkan ke tahap minima.Beliau juga melahirkan rasa bangga terhadap daya usaha Jabatan Penjara mengadakan program yang melibatkan kolaberasi antara pihak Kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO's) terutamanya MCPF dalam usaha membasmi jenayah yang menjadi kudis dalam kemakmuran negara. Dalam sidang medianya pula, beliau mencadangkan agar sesi kaunseling turut dibuat kepada semua pihak terutama ibubapa yang anak mereka pernah menjadi penghuni penjara.
Terdahulu dalam program tersebut, TKPj. Abdul Basir bin Mohamad, Pengarah Penjara Negeri Sabah dan Wilayah Pesekutuan Labuan menyampaikan ucapan alu-aluan mewakili YBhg. Dato' Sri Hj. Zulkifli bin Omar, Ketua Pengarah Penjara Malaysia. Turut hadir dalam Program tersebut ialah PKP Sazali bin Ismail, Pengarah Penjara Sandakan, Datuk Francis Yap, Setiausaha MCPF Sabah, Tuan Hj. Hamsan Supain, Timbalan Presiden MPS dan PKK Ajidin bin Hj. Salleh, Ketua Seksyen Pemulihan Bahagian Pengurusan Banduan.
Sementara itu, Forum bertajuk "Memasyarakatkan Penjara" juga turut mencuri tumpuan para peserta dalam Program tersebut. Forum tersebut dikendalikan oleh Ustaz Mohd. Riduwan bin Hj. Jamaluddin selaku Moderator bersama 3 orang Panel iaitu, PKK. Ajidin bin Hj.Salleh, Encik Kamarazaman bin Isnin dan Cik Siti Hashimah binti Mohd. Sedek, Pegawai Psikologi PDRM Sandakan. Seramai lebih 300 peserta hadir dalam program tersebut antaranya dari Kolej Kejururawatan Sandakan, Pelajar ILP Sandakan, Persatuan Belia Daerah Sandakan dan Kadet Koreksional SMK Elopura II Sandakan.