Ahad, 28 Oktober 2012 bersamaan 12 Zulhijjah 1433H - Seksyen Pemulihan & Rawatan, Penjara Kluang telah mengadakan Program Jalinan Kasih Perjumpaan Bersemuka Sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha yang bertempat di Dataran Insaf, Penjara Kluang.
Program yang melibatkan 20 orang penghuni Penjara Kluang yang terdiri daripada 16 orang penghuni lelaki dan 4 orang penghuni wanita telah berlangsung dalam suasana meriah dan lancar. Suasana hiba sambutan hari raya kian terasa apabila pertemuan melibatkan penghuni bersama keluarga masing-masing. Program bermula seawal jam 10.00 pagi dan telah berakhir pada jam 12.00 tengahari. Program turut dihiburkan dengan persembahan nasyid dan kugiran oleh Kumpulan Nasyid & Kugiran Penjara Kluang yang dianggotai oleh penghuni Penjara Kluang.
Turut memeriahkan sambutan adalah kehadiran PKK Mat Rasid Bin Jahlil, Pengarah Penjara Kluang. Menerusi pendekatan program ini, ianya diharapkan dapat memberi kesempatan dan juga peluang kepada penghuni untuk berjumpa dengan keluarga dan merasai sendiri sambutan hari raya bersama keluarga. Melalui sokongan dan nilai kasih sayang yang ditunjukkan oleh pihak ahli keluarga diharap akan memberi semangat serta dorongan kepada penghuni untuk meneruskan program-program pemulihan di dalam penjara.
""