Putrajaya 21 Nov. 2011, Majlis meraikan inovasi di peringkat KDN telah diadakan di Dewan Kompleks D8 Putrajaya. Sambutan kali ini bertemakan 'Inovasi Pemangkin Transformasi' bukan sekadar meraikan kemenangan pertandingan bahkan menyemarakkan lagi usaha untuk terus menerus seluruh warga KDN melaksanakan program inovasi di setiap peringkat dan jabatan. Inovasi yang dihasilkan adalah untuk kemudahan pelanggan yang berurusan dengan kementerian dan jabatan.
Pertandingan kali ini dibahagikan kepada tiga segmen iaitu pertandingan inovasi, Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif serta Pameran Inovasi. Jabatan Penjara Malaysia merangkul Naib Johan bagi pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif di wakili oleh Penjara Sungai Buloh bagi kategori pengurusan dan Tempat Ketiga Penjara Alor Setar bagi kategori teknikal. Jabatan juga mendapat Naib Johan bagi pertandingan Pameran Inovasi. Bagi Anugerah Inovasi KDN Jabatan merangkul tempat ketiga dengan program inovasi Pusat Pemulihan Pemasyarakatan. YB. Menteri turut menyampaikan Anugerah Khas sebagai penghargaan dan impak kepada program yang telah dilaksanakan oleh jabatan sepanjang tahun2011. Anugerah diterima oleh YBhg. Datuk Wira Haji Zulkifli bin Omar, Ketua Pengarah Penjara Malaysia .
Hadiah-hadiah disampaikan oleh YB. Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri. Dalam ucapan, YB. Menteri memperingatkan seluruh warga KDN untuk terus menerus menjunjung amanah besar melaksanakan tanggungjawab murni menjaga keamanan dan kesejahteraan rakyat. Agenda inovasi KDN adalah selaras dengan agenda nasional untuk melaksanakan transformasi berpaksikan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Turut hadir dalam majlis tersebut YB. Datuk Lee Chee Leong, Timbalan Menteri Dalam Negeri, KSU KDN, Timbalan-timbalan KSU, ketua-ketua jabatan dan setiausaha bahagian KDN.
Tahniah kepada seluruh Warga Jabatan Penjara Malaysia dalam memartabatkan imej jabatan. Jabatan Penjara Malaysia, Boleh!
""