Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada kali ini, Unit Rundingcara Tahanan dan Banduan PPA/ Penjara Simpang Renggam, Johor telah mengadakan satu program ....
Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada kali ini, Unit Rundingcara Tahanan dan Banduan PPA/ Penjara Simpang Renggam, Johor telah mengadakan satu program berkonsepkan raya kepada tahanan dan banduan yang beragama Islam iaitu Program Jalinan Kasih Aidilfitri 2009. Program tersebut telah diadakan pada 22.9.2009 (Selasa), bertempat di hadapan Pejabat Rekod Tahanan, Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam, Johor. Program tersebut berlangsung dalam suasana yang penuh syahdu dan pilu di mana seramai (25) penghuni (21 Tahanan POPOC dan 4 Tahanan ADB) yang terlibat pada hari tersebut telah dikunjungi oleh kaum keluarga yang terdiri dari ibubapa, isteri, anak-anak dan adik-beradik serta rakan taulan.
Aturcara program bermula jam 9.15 pagi di mana keluarga penghuni telah disambut oleh pegawai kanan dan anggota bertugas. Pada jam 9.30 pagi, TKPj. Jamaludin b. Saad, Pengarah Penjara tiba untuk memeriahkan program tersebut . Dalam ucapan ringkasnya , TKPj. Jamaludin b. Saad antara lain menyatakan, bahawa tujuan Program ini diadakan adalah untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara penghuni dengan ahli keluarga yang telah lama terpisah. Juga memberi peluang kepada penghuni untuk beramah mesra bersama-sama keluarga setelah sekian lama dipisahkan oleh tembok penjara di atas kesilapan lalu. Beliau juga berharap agar kesempatan ini dapat dimanfaatkan dan digunakan sebaiknya oleh penghuni dan ahli keluarga masing-masing. Ys. Pengarah juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada Unit Pemulihan PPA Simpang Renggam kerana telah berjaya menganjurkan program ini dan beliau berharap agar program ini dapat diteruskan di masa akan datang. Seterusnya pada jam 10.00 pagi, acara kemuncak bermula di mana keluarga dibawa ke meja yang disediakan dan dipertemukan dengan penghuni terlibat. Turut hadir memeriahkan program Jalinan Kasih pada kali ini terdiri daripada PKP Nik Mohamad Faidza b. Nik Jaafar, PP Che Kob b. Mohd. Noor, PP Azman b. Mohd. Ali (selaku Ketua Bahagian Pemulihan ), Pegawai-pegawai Kanan dan anggota terlibat. Program berakhir pada jam 10.30 pagi di mana dapat disaksikan keluarga dan penghuni terlibat berpelukan seperti tidak mahu berpisah dan ada dikalangan mereka yang menitiskan airmata kesyahduan.
""