Perkhemahan Bina Insan Pasukan Kadet Koreksional telah diadakan pada 18 -21 November 2008 di Hutan Lipur Ulu Bendul, Kuala Pilah. Negeri Sembilan. Ia merupakan salah satu aktiviti pilihan yang dirangka untuk dilaksanakan bagi memberi pendedahan aktiviti-aktiviti mental dan fizikal kepada anggota kadet di samping membentuk sikap berdikari, semangat setiakawan, kerjasama, dan komitmen terhadap pasukan. Program ini adalah merupakan program perkhemahan yang berbentuk pendidikan ke arah pembentukan sahsiah dan jatidiri kadet.
Perkhemahan ini adalah idea yang dicetuskan oleh PKP Ahmad Saidi Bin Hj. Hamzah, Pengarah Penjara Seremban yang menginginkan satu kelainan dalam aktiviti kadet yang sedia ada, disertai oleh ahli Kadet Koreksional Negeri Sembilan dari SMK Tunku Ampuan Najihah dan SMK Undang Jelebu serta Rakan Muda Penjara Seremban /Jelebu.
Perkhemahan Bina Insan Pasukan Kadet Koreksional ini diadakan untuk memberi pendedahan yang lebih luas mengenai aktiviti kadet bagi meningkatkan disiplin dan sahsiah diri, membina semangat kerjasama dikalangan ahli Kadet Koreksional Negeri Sembilan bersama Rakan Muda Penjara Seremban disamping memberi pendedahan dan kefahaman mengenai tanggungjawab dalam membimbing rakan sebaya bagi menghindari gejala-gejala sosial yang semakin berleluasa dewasa ini.
Objektif Perkhemahan ini adalah
- Membina semangat jati diri dan daya juang yang tinggi dikalangan ahli Kadet Koreksional dan Rakan Muda yang mengambil bahagian di samping mematuhi peraturan dan syarat-syarat yang ditetapkan.
- Melahirkan insan yang mantap dari segi jasmani, emosi, rohani, disiplin dan intelek bagi menjadi pemimpin generasi akan datang
- Melahirkan insan mulia yang menjadi pembimbing rakan sebaya lain dalam menghadapi masalah atau kegiatan yang tidak sihat
- Menyemai samangat kerjasama dan kekitaan dikalangan pelajar bagi melahirkan insan yang saling bantu membantu dan bersatu padu dalam setiap bidang yang diceburi.
- Membentuk disiplin diri yang tinggi demi menjaga nama baik institusi yang disertai
- Mempereratkan hubungan silaturrahim antara ahli Kadet Koreksional dan Rakan Muda.