22 Julai Majlis Perasmian Penutupan Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP) 2010 telah berlangsung pada 22 Julai 2010 bertempat di Auditorium Mahsuri, Akademi Koreksional Malaysia. Majlis ini disempurnakan oleh YB Dato Lee Chee Leong, Timbalan Menteri Dalam Negeri. Dalam ucapan penutupan, beliau berharap agar program ini dapat diteruskan pada masa akan datang di samping menambah bilangan penganjuran kursus peringkat antarabangsa. Beliau turut melahirkan rasa bangga kerana AKM dapat menjalankan kursus ini dengan jayanya serta mencapai objektif yang telah ditetapkan. Hadir sama dalam majlis ini ialah Y.Bhg Komisioner Jeneral Penjara Datuk Wira Hj Zulkifli bin Omar, PKK Abdul Aziz bin Abdul Razak (Pengarah AKM), En. Abd Aziz bin Abd Ghani (Pegawai Daerah Langkawi), dan Duta Negara Namibia serta Papua New Guinea. Kursus ini telah berlangsung dari 04 hingga 22 Julai 2010 yang melibatkan seramai 33 orang peserta dari Australia, Indonesia, Sri Lanka, Namibia, Brunei, Solomon Island, Botswana, Iraq, Papua New Guinea, India, Kiribati dan Malaysia. Kursus selama tiga minggu ini membincangkan modul-modul berkaitan Pelan Pembangunan Insan yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Penjara Malaysia agar ia dapat dikongsi bersama oleh semua peserta terutamanya dari negara luar serta memberikan input-input baru ke arah satu matlamat iaitu memperkasa aktiviti pemulihan kepada penghuni. Peserta juga berpeluang melihat secara dekat aktiviti pemulihan yang dijalankan ke atas penghuni melalui lawatan ke beberapa buah institusi penjara antaranya Penjara Pokok Sena, Penjara Sungai Petani, Penjara Seberang Prai, Penjara Taiping, KEMTA, PPA Batu Gajah dan PULAPEN Perak. Dalam majlis yang sama, para peserta Kursus Sijil Tinggi Pengurusan Penjara Siri 1 2009/2010 telah menerima sijil tamat kursus masing-masing. Kursus ini berlangsung mulai 14 November 2009 hingga 18 Julai 2010. |